Rumah Panjang Melanau Kampung Sok
Rumah panjang ini merupakan rumah panjang asli yang satu-satunya masih ada di dunia selain di Kampung Budaya Sarawak yang terletak di Kuching. Dipercayai, rumah panjang melanau di Kampung Sok ini berusia lebih 100 tahun dan masih berdiri utuh dibawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Ia dibina sekitar tahun 1872 dengan hanya mempunyai 4 pintu. Kemudian pada tahun 1888 ianya ditambah menjadi 26 pintu keseluruhannya. Ia dibina secara muafakat oleh penduduk kampung. Berukuran 210 kaki panjang dan 40 kaki lebar, struktur asalnya diperbuat daripada kayu belian manakala atapnya dibuat daripada daun rumbia. Sebelum kedatangan Islam, penduduk setempat mengamalkan kepercayaan animisme. Menurut mereka, hanya penghuni yang lahir dalam rumah panjang ini sahaja yang boleh melakukan renovasi serta membaikpulih rumah panjang tersebut. Jika melanggar peraturan, maka akan ditimpa musibah.