News

 

DBKU akan lapor polis tiga individu panjat papan tanda jalan, tiang lampu

Posted on 13 Nov 2025
Source of News: Utusan Borneo

DBKU 1


KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan membuat laporan polis susulan tindakan tiga individu yang tular di aplikasi TikTok selepas bertindak memanjat struktur papan tanda jalan serta tiang lampu di kawasan pentadbiran mereka.

Menurut kenyataan DBKU yang dimuat naik di laman Facebook rasminya hari ini, tindakan tidak sopan itu dianggap sebagai pelanggaran serius terhadap adab dan tatasusila masyarakat serta tidak akan dikompromi.

“DBKU memandang serius tindakan sedemikian kerana ia bukan sahaja membahayakan keselamatan diri, malah boleh merosakkan harta awam serta mencemar imej bandar raya Kuching.

“Sehubungan itu, DBKU akan membuat laporan polis bagi siasatan lanjut di bawah undang-undang berkaitan ketenteraman awam,” menurut kenyataan tersebut.

Pada masa sama, DBKU mengingatkan bahawa perbuatan menampal sebarang bahan seperti pelekat atau poster pada papan tanda jalan tanpa kebenaran juga merupakan satu kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil 22(1)(b), Local Authorities (Cleanliness) By-laws, 1999.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak RM1,500 dan denda tambahan sebanyak RM3,000 bagi kesalahan berikutnya atau penjara selama sembilan bulan bagi setiap kesalahan berikutnya,” jelas kenyataan itu lagi.

Justeru, DBKU menasihatkan orang ramai agar menjaga tingkah laku serta menghormati kemudahan awam demi kesejahteraan bersama dan memastikan bandar raya Kuching kekal sejahtera, bersih serta selamat.

  •  oleh 
    Jeremy Lanson
  • November 12, 2025, Rabu - 1:10pm