News

 

Sarawak diiktiraf dengan dua penghargaan di WTM London 2025

Posted on 13 Nov 2025
Source of News: Utusan Borneo

TOURISM 1


KUCHING: Penyertaan Sarawak di World Travel Market (WTM) London 2025 telah meraih dua penghargaan berprestij yang menonjolkan usaha berterusan negeri berkongsi warisan semula jadi dan budaya dengan global.

Menurut kenyataan akhbar, Sarawak telah diiktiraf dengan Anugerah Ciri Gerai Terbaik sempena Anugerah Gerai Terbaik WTM 2025.

Ia untuk pemasangan Gerbang LED pertama seumpamanya di Pavilion Sarawak dengan reka bentuk yang menampilkan urutan visual yang menunjukkan Puncak Mulu, Air Terjun Three Sisters di Long San, Baram serta Taman Negara Terumbu Karang Miri–Sibuti.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Sharzede Salleh Askor berkata, WTM London 2025 merupakan salah satu acara pelancongan terbesar di dunia mengumpulkan kira-kira 5,000 pempamer dari 180 negara dan wilayah. 

Ia telah berlangsung dari 4 hingga 6 November lalu dengan penyertaan Sarawak diketuai Lembaga Pelancongan Sarawak dengan kerjasama agensi negeri dan rakan industri.

Tambahnya, acara menampilkan 15 peserta pameran bersama yang berkolaboratif dalam mempamerkan pelbagai tawaran pelancongan negeri di pentas global.

"Para juri mengetengahkan urutan air terjun yang menarik perhatian dengan menyatakan penggunaan ciri audio-visual yang berkesan.

"Pemasangan adalah berkonsep untuk memperkenalkan pengunjung kepada landskap Sarawak yang pelbagai melalui persembahan yang ringkas dan padu secara visual yang menggabungkan paparan kreatif dengan tujuan pendidikan," katanya.

Lebih menarik Sarawak turut dinamakan antara 10 Wilayah Paling Diingini (Seluruh Dunia) pada Anugerah Perjalanan Pembaca Wanderlust 2025.

"Plak tersebut telah disampaikan di Pavilion Sarawak yang mencerminkan minat berterusan daripada pelancong yang menghargai destinasi yang berakar umbi dalam budaya, alam semula jadi dan keaslian.

“Pengiktirafan ini menggalakkan kami untuk terus memperhalusi cara kami mempersembahkan Sarawak di peringkat antarabangsa,” kata Sharzede lagi.

Ujar beliau, WTM London kali ini menyediakan platform penting untuk berkongsi cerita dengan rakan kongsi, media dan pengunjung seterusnya menghargai penglibatan positif yang diterima.

Kedua-dua pengiktirafan ini melengkapi pameran Sarawak yang lebih luas di WTM London 2025 merangkumi persembahan kebudayaan, interaksi perdagangan dan media.

Di samping itu pengenalan video dikenali 'Sarawak Welcomes You' dan Pakej Tapak UNESCO Borneo.

Usaha-usaha ini menyumbang kepada peranan Sarawak dalam menyokong persediaan Malaysia untuk Visit Malaysia 2026 yang dipacu oleh kemampanan, pemerkasaan komuniti dan tonggak CANFF Sarawak yang mengabungkan budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival.

"Ketika Sarawak terus memperkukuh jangkauan antarabangsanya, pengiktirafan di WTM London 2025 mencerminkan kemajuan mantap negeri dalam mempersembahkan Sarawak sebagai 'Gerbang ke Borneo' melalui penceritaan yang tulen, kreatif dan bertanggungjawab.

  •  oleh Utusan Borneo
  • November 12, 2025, Rabu - 5:51pm