Berita

 

Sarawak komited perkukuh hubungan dengan negara RISEAP melalui pendidikan dan pembangunan modal insan: Abang Johari

Disiarkan pada 13 Nov 2025
Sumber Berita: Utusan Borneo

PREMIER 1 PREMIER 2


KUCHING: Sarawak menegaskan komitmennya untuk memperkukuh hubungan serantau melalui kerjasama dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan, khususnya dengan negara-negara anggota Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha Sarawak untuk membantu negara anggota lain dalam memperkasakan masyarakat Islam di rantau masing-masing.

“Saya telah memberi maklum kepada Jawatankuasa Eksekutif RISEAP bahawa kita di Sarawak telah menubuhkan sekolah antarabangsa Islam.

“Dan kita akan memberi peluang kepada anak Islam di pulau-pulau Pasifik di mana ada kekurangan pendidikan di kawasan tersebut untuk belajar di Sarawak, di sekolah-sekolah kita.

“Ia akan merapatkan lagi hubungan di antara masyarakat di kawasan RISEAP dan negara-negara tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan TVS selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif RISEAP Ke-36 di Seoul, Korea Selatan pada Rabu.

Dalam ucapannya semasa mempengerusikan mesyuarat itu, Premier mengumumkan inisiatif pertukaran pelajar baharu bagi memperkukuh pendidikan dan pembangunan insan di kepulauan Pasifik.

Jelasnya, pendekatan dilaksanakan RISEAP juga selari dengan konsep dakwah ‘bil hal’ yang memberi tumpuan memperkasakan ummah sejagat.

“Sebab itu, dengan keadaan sosioekonominya (di kawasan tertentu RISEAP) yang masih lagi rendah, maka kita rasa adalah menjadi satu daripada ibadah kita (membantu dari segi pendidikan).
 

“Ia dengan memberi ruang kepada dua, tiga orang ataupun 10 orang belajar di sekolah Islam antarabangsa, sebagai ‘residential scholar,’ sampailah ke peringkat tinggi.

“Akhirnya mereka akan balik ke negara asal untuk menyumbang balik kepada negara mereka,” jelasnya.

Terdahulu pada mesyuarat tersebut, beliau memaklumkan RISEAP telah menerima beberapa laporan mengenai kegiatan yang dijalankan oleh negara-negara anggota.

Mesyuarat tersebut menghimpunkan kepimpinan dan wakil-wakil RISEAP dari seluruh Asia Tenggara dan Pasifik bagi menilai pencapaian organisasi, memperkukuh kerjasama antara negara anggota, serta membincangkan usaha berterusan dalam menyokong komuniti minoriti Islam yang tinggal di pelbagai wilayah rantau ini.

Antara agenda utama mesyuarat ialah pembentangan laporan ringkasan aktiviti RISEAP bagi tahun 2025, perkembangan terkini daripada Zon Utara, Tengah dan Selatan serta Sayap Wanita, di samping semakan laporan kewangan tahun 2024.

Ahli-ahli turut membincangkan program strategik bagi tahun 2026 dan mencadangkan pelantikan Timbalan Presiden baharu bagi RISEAP.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib, Setiausaha Kehormat RISEAP Datuk Mohamad Marzuki Mohamad Omar, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Mufti Sarawak Datuk Kipli Yasin serta Exco RISEAP yang lain.

Utusan Borneo - November 12, 2025, Rabu - 6:13pm