Sarawak ID | Register
Polls
Announcements

Berita

Sebanyak 4,963.6kg barangan kitar semula berjaya dikumpul
Tarikh : 14 Mar 2023  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

Sukarelawan sibuk mengumpul barangan kitar semula.

 

Sukarelawan, Loh Yu Yee yang menganjurkan acara itu berkata sambutan program tersebut di luar jangkaan mereka.

“Apabila penduduk Daro tahu mereka boleh mendapatkan wang daripada barangan yang tidak lagi digunakan, mereka datang dan memberi seberapa banyak yang boleh.

“Selain itu, kami juga sebenarnya mengumpul kira-kira 660kg minyak masak terpakai. Kami tidak menjangkakan itu dan sudah tentu kami juga mengumpul banyak kotak kertas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, beberapa keluarga Cina pernah pergi ke Sibu untuk menghantar barangan kitar semula dan dengan adanya program sebegitu ia menjimatkan masa dan wang perjalanan mereka.

Loh menambah, program tersebut dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Cina dan Pasar Daro serta Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD).

"JKKK dan pihak majlis bekerja keras mempromosikan acara tersebut sambil berharap program serupa diadakan di tempat sama pada Mei nanti.

“Matlamat kami adalah untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

“Kami merancang mengadakan program sama semasa Pesta Daro iaitu pada Mei. Pada masa tersebut ramai orang akan keluar dan pada masa sama, kami mahu mereka juga menghantar barangan kitar semula mereka,” jelasnya.

Selain itu, pihaknya juga bercadang mengadakan program sedemikian setiap dua bulan di Daro dan mereka tidak dapat melakukannya setiap bulan kerana masalah logistik. 

Loh berkata, mereka juga merekrut lebih ramai sukarelawan di Daro untuk membantu mempromosikan acara seumpama itu di Daro.

Pada masa sama, beliau turut mencipta kumpulan WhatsApp untuk penduduk Daro yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang program kitar semula.

"Sekarang, kami mempunyai 67 ahli dalam kumpulan sembang yang menyediakan maklumat tentang alam sekitar dan program kitar semula," katanya.

Turut hadir Pengerusi JKKK Kapitan Tuen Chai Choon, Pengerusi Tadika Tan Soon Kuang, Ketua Kesihatan Awam Majlis Daerah Matu dan Daro Apohrozy Ezrie Eallie, Kaunselor Jak Tan, Kaunselor Lau Sieng Mee dan Pemanca Lau Oi Peng.