Sarawak ID | Register
Polls
Announcements

Berita

Sarawak ‘Role Model’ Kekalkan Perpaduan
Tarikh : 13 Sep 2022  Sumber Berita: Utusan Sarawak
 

BELAGA: Sarawak adalah ‘role model’ di Malaysia dalam mengekalkan perpaduan dan toleransi rakyat berbilang kaum, menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Katanya, kenyataan itu turut diperakui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sambil menambah kepelbagaian agama di Sarawak menyemarakkan sifat toleransi antara agama dan juga budaya di Sarawak.

“Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) terus memainkan peranan dalam menjaga kebajikan agama-agama lain di Sarawak dengan menyalurkan peruntukan setiap tahun untuk kegunaan membina dan membaiki rumah ibadah mereka.

 “Bukan itu saja, UNIFOR katanya juga diberi peruntukan membaikipulih bangunan dan bantuan operasi bagi sekolah-sekolah mubaligh di Sarawak,” katanya dalam teks ucapan dibaca oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon pada Majlis Perasmian BEM Gereja UMUM Apau Koyan BRS Sungai Asap Belaga pada Ahad.

Jelas Uggah, pada tahun 2017 Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukkan RM15 juta untuk diagihkan kepada 77 Badan keagamaan dan rumah ibadah. Peruntukan meningkat pada setiap tahun.

 “Manakala, pada 2018 sebanyak RM20 juta telah diluluskan untuk membantu sebanyak 231 badan keagamaan dan rumah ibadah. 

“Seterusnya peruntukan meningkat kepada RM30 juta pada tahun 2019, meningkat lagi kepada RM20 juta pada tahun 2020 dan 2021.

“…Dan pada tahun ini sebanyak RM20 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Sarawak.” 

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II menambah UNIFOR juga memberi bantuan operasi sebanyak RM20 juta bagi menampung operasi rumah-rumah ibadat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Uggah menegaskan rakyat Sarawak perlu terus bersatu dan bersepakat dalam mencapai cita-cita bersama ke arah mencapai kemajuan berteraskan perpaduan.

“Pada 26 Oktober 2018 yang lalu saya telah berkunjung ke sini untuk menyerahkan cek sebanyak RM10 juta kepada BEM Gereja Umum Apau Koyan Belaga bagi tujuan membantu membina dan membaiki gereja serta menubuhkan Pusat Teologi BEM di sini.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak adalah inklusif dan amat peka kepada kehendak penduduk di kawasan luar bandar terutamanya dalam menyediakan infrastruktur asas yang mampan. 

“Oleh itu, Kerajaan Negeri tidak lupa untuk membawa bersama kawasan luar bandar dan pedalaman mencapai wawasan sebagai status negeri maju menjelang tahun 2030.” 

Dalam majlis sama, Uggah mengumumkan dana khas berjumlah RM630,000 untuk membaikpulih rumah-rumah ibadat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum.