Sarawak ID | Register
Polls
Announcements

Berita

COVID-19: 670 Kes Baharu Direkod Pada Minggu Epidemiologi Ke-36
Tarikh : 13 Sep 2022  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

KUCHING: Sarawak merekodkan peningkatan kes baharu COVID-19 pada minggu epidemiologi ke-36 iaitu sebanyak 670 kes berbanding minggu sebelumnya iaitu 619 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan memberitahu, pertambahan jumlah kes itu menjadikan kumulatif kes COVID-19 menjadi 313,821 kes.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 648 kes merupakan kategori klinikal satu dan dua manakala 22 kes pula kategori klinikal tiga, empat dan lima.

"Kuching merekodkan jumlah tertinggi kes iaitu 234 kes, diikuti Miri (101), Sibu (105), Bintulu (65), Kota Samarahan (28), Serian (20), Bau (14), Mukah (13) manakala Dalat dan Betong masing-masing 11 kes," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, sembilan kes direkodkan di Sarikei, Sri Aman (lapan), Limbang (lima) manakala empat kes direkodkan di Simunjan, Subis, Kapit, Asajaya dan Meradong.

Jelasnya, tiga kes direkodkan di Pakan dan Lubok Antu.

Dua kes di Telang Usan, Selangau, Kanowit, Beluru, Marudi dan Daro manakala Lawas, Julau, Saratok, Pusa, Tebedu, Tanjung Manis, Song dan Lundu melaporkan masing-masing satu kes baharu.

Sementara itu, enam daerah lain tidak merekodkan kes baharu COVID-19.

JPBNS berkata, tiada kes kematian direkodkan pada minggu epidemiologi ke-36.