Sarawak ID | Register
Polls
Announcements

Berita

Pendedahan awal dalam perniagaan pupuk budaya keusahawanan
Tarikh : 10 Sep 2022
 

KUCHING: Pendedahan dan pendidikan awal dalam bidang perniagaan dapat membantu memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan bakal usahawan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ilmu pengurusan perniagaan perlu diterapkan dalam diri setiap usahawan agar mereka kekal tabah mendepani sebarang cabaran.

"Justeru, dengan penglibatan pelajar dalam Program Usahawan Muda 2022 (PUM22) ini, pasti dapat memberi pendedahan serta menerapkan nilai-nilai dan minat keusahawanan dalam diri mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian PUM22 Siri Ke-3 Peringkat Negeri Sarawak anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Dataran Jubli Perak, Politeknik Kuching di sini, hari ini.

Nanta berkata, langkah proaktif SSM untuk bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) menganjurkan program seumpama ini mampu menggilap potensi para pelajar yang berminat.

“Ia juga menggalakkan generasi muda untuk melibatkan diri dalam dunia keusahawanan dan perniagaan yang turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan,” katanya.

Menerusi program ini katanya, SSM akan memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan prosedur dan perundangan yang ditadbir oleh SSM berhubung pendaftaran perniagaan.

“Pelajar akan didedahkan dengan kaedah dan faedah mendaftar perniagaan, selain menimba ilmu pengetahuan berhubung strategi perniagaan serta pengurusan kewangan dan pemasaran digital.

“Oleh itu, besar harapan saya agar pelajar di sini dapat memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dan menganggap keusahawanan sebagai pilihan kerjaya,” katanya.

Sementara itu, Nanta memaklumkan sebanyak RM10,000 akan diagihkan kepada Kelab Usahawan Politeknik Kuching sebagai motivasi kepada pelajar untuk menjadi usahawan.

Untuk rekod, PUM22 merupakan kali ketiga diadakan di Sarawak pada tahun ini dan disertai lebih 600 pelajar Politeknik Kuching, Kolej Vokasional Matang, Kolej Vokasional Kuching, Pusat Latihan GIATMARA Satok dan Kolej Komuniti Mas Gading.

 

  • oleh
    Marlinda Mardzuki