Sarawak ID | Register
Polls
Announcements

Berita

Jangan Persoal Hak Sarawak
Tarikh : 12 Sep 2022  Sumber Berita: Utusan sarawak
 

BETONG: Hak serta keistimewaan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) tidak harus dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan yang telah dipersetujui barisan kepemimpinan terdahulu mengenai MA63 harus dihormati semua pihak.

Malah katanya, rakyat di negara ini keseluruhannya perlu memahami konsep persekutuan setelah 59 tahun pembentukan Malaysia.

“Oleh itu, tindakan menuntut hak dan keistimewaan Sarawak hendaklah dihormati serta diiktiraf Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini Betong, semalam.

Abang Johari bagaimanapun berkata, tuntutan mengikut MA63 bukanlah bermakna rakyat negeri ini tidak mempunyai semangat kebangsaan serta patriotisme yang tinggi.

“Misalnya anak Sarawak seperti (Datuk) Pandelela Rinong dan Gustin Bonnie Bunyau berjuang bermatian-matian agar lagu kebangsaan kita iaitu Negaraku boleh berkumandang di arena sukan antarabangsa.

“Malah orang Sarawak juga turut melahirkan rasa bangga apabila pemain badminton beregu negara iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berjaya memenangi kejohanan dunia di Tokyo empat hari lalu,” katanya.

Apa pun kata Abang Johari, Sarawak sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi menjaga kepentingan dan manfaat semua pihak.

Beliau berkata, jika berlaku sebarang pertikaian mengenai kuasa dan hak negeri atau Persekutuan, maka mahkamah haruslah menjadi penentu kebenaran terhadap sesuatu masalah itu.

“Justeru apabila kita menuntut Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum dari negeri ini, maka penyelesaiannya ditentukan oleh makhamah bahawa Sarawak ada hak mengenakan cukai berkenaan.

“Setakat ini iaitu sejak 2019, Sarawak sudah memungut SST sebanyak RM8 bilion. Dengan dengan harga minyak mentah dunia yang meningkat nanti, sudah pasti akan (terus) menyumbang peningkatan terhadap cukai bagi tahun ini,” katanya.

Abang Johari berkata, hasil SST itu secara tidak langsung akan menambahkan pendapatan Sarawak dan seterusnya dikembalikan kepada rakyat melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan dan bantuan untuk kesejahteraan mereka.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, isteri kepada Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah serta Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Seni, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Mohammad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri dari Kabinet Sarawak, wakil rakyat, ketua jabatan dan ketua kaum juga hadir pada majlis itu. Majlis turut diserikan dengan upacara penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada Yang di-Pertua Negeri, upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang, persembahan tarian kebudayaan dan nyanyian lagu oleh artis tanahair.

Oleh VALENTINE NGUMBANG