Sarawak ID | Register
Polls
Announcements

Berita

Lebuh Raya Sarawak-Sabah Mula Tahun Depan
Tarikh : 05 Sep 2022  Sumber Berita: Utusan sarawak
 

KUCHING: Kerajaan Persekutuan menetapkan harga siling berjumlah RM12 bilion bagi Projek Fasa 2 Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB).

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, berkata kos sebenar kedua-dua projek mega itu hanya akan dimuktamadkan selepas penilaian kejuruteraan serta penilaian pengurusan dan pelaksanaannya dijangka bermula tahun depan.

“Kita berharap ia akan diputuskan hujung tahun ini bagi membolehkan kita memulakan kerja awal tahun depan,” katanya selepas Sesi Libat Urus Menteri Kanan Kerja Raya Bersama Media Sarawak di sini, malam kelmarin.

LTB adalah sistem rangkaian jalan raya utama menghubungkan Kalimantan (Indonesia), Sarawak dan Sabah (Malaysia) serta Brunei.

Projek LTB di utara Sarawak itu akan dilaksanakan dalam dua segmen dengan yang pertama menaik taraf dan membina semula laluan jajaran dari persimpangan Kuala Baram di Miri ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujoh di Kuala Belit, Brunei sepanjang lima kilometer.

Segmen kedua membabitkan pembinaan jalan baharu dan naik taraf jalan sedia ada sepanjang 74 kilometer melalui Limbang dan Lawas.

Projek SSLR pula dilaksanakan bagi membolehkan pengguna kenderaan yang tidak mahu melalui Brunei untuk ke Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah.

Fadillah berkata, SSLR Fasa 2 sedang dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan dari sudut perolehan dan diharapkan ia akan dianugerahkan kepada kontraktor hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Mengenai perkembangan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Fadillah berkata, sehingga 24 Ogos lalu, projek bernilai RM16 bilion itu sudah siap 86.54 peratus.

“Beberapa seksyen lebuh raya itu akan dibuka sepenuhnya tahun ini kecuali tiga seksyen iaitu di Bukit Begunan (Sri Aman) dan Sibuti serta Lambir di Miri akan dibuka tahun depan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Sarawak menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM4.6 bilion dengan RM1.6 bilion digunakan untuk empat projek yang sedang dilaksanakan iaitu pembinaan jejambat Jalan Medan Jaya-Jalan Tun Hussein Onn di Bintulu, SSLR Fasa 1 di Lawas ke persimpangan Long Lopeng, projek jalan akses ke kawasan selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching serta  menaik taraf Jalan Datuk Musa ke bulatan Kota Samarahan.

Selain itu, sebanyak RM88.3 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan jalan Persekutuan di Sarawak.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Mohd Shuhaimi Hassan.

KKR turut melaksanakan projek kementerian pelanggan iaitu pembinaan empat hospital dengan kos RM1.5 bilion, pembinaan 28 sekolah dengan kos RM651 juta manakala sejumlah RM674.9 juta untuk projek pembinaan kompleks serta bangunan.

Oleh AZREEN KERIA