Juanda cadang kerajaan negeri pinda hak milikan tanah kepada dua penama |
Tarikh : 17 Jun 2022 Sumber Berita: Utusan Borneo |
14 jUN 2022 MUKAH: Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman Datuk Dr Juanda Jaya mencadangkan agar kerajaan negeri meminda hak milikan tanah kepada dua penama. Menurutnya, amat sukar bagi penduduk asal Matu yang bekerja di kawasan luar dan telah membeli rumah untuk memiliki tanah sendiri melalui Skim Pembesaran Kampung (SPK) di tempat asal mereka. "Kebanyakan orang asal Matu yang bekerja di luar tidak dapat memiliki tanah atas namanya bagi SPK kerana telah membeli rumah di kawasan lain," katanya pada ucaptama Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanak Seksyen 18 KTN (Pertanian) Kampung Tian, Matu serta cek pampasan tanah dan exgratia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng di Dewan Serba Guna kampung tersebut di sini, hari ini. Beliau yang juga ADUN Jemoreng ingin melihat penduduk asal Matu turut memiliki tanah SPK walaupun telah membeli rumah di kawasan bekerja. Beliau amat memahami bahawa tanah merupakan satu aset penting bagi rakyat. "Bagi rakyat, tanah itu adalah seperti nyawa dan maruah, segala-galanya," ujarnya. Dalam jangka masa lima tahun, jalan raya dan perhubungan di Matu bakal bertambah baik. Justeru, beliau mahu melihat anak jati Matu kembali ke kawasan itu untuk membina rumah kediaman jika mendapat SPK. Pada masa sama, Juanda juga menyatakan sejak menjadi wakil rakyat di kawasan itu beliau pernah melihat sebuah rumah yang didiami lapan keluarga. Ketiadaan kawasan tanah tidak mengizinkan mereka untuk membina rumah yang sesuai dan mencukupi untuk keluarga dan akhirnya mereka terpaksa berkongsi kediaman. ADVERTISEMENT Justeru tegasnya, sudah sampai masanya kerajaan negeri mempertimbang untuk memperbanyakkan skim seperti SPK di kawasan DUN Jemoreng. Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. |