Sarawak ID | Register

Berita

Skim Beri Jaminan Kepada Penduduk keatas Tanah Diduduki
Tarikh : 17 Jun 2022  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

MUKAH: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata skim seperti Skim Pembesaran Kampung (SPK), Kampung Tradisi dan sebagainya bertujuan memberi jaminan kepada penduduk ke atas tanah yang diduduki mereka pada masa sekarang.

Katanya jaminan yang diberi dalam bentuk surat milikan itu bakal membolehlan rakyat mengusahakan tanah mereka tanpa sebarang rasa ragu.

Pada masa sama tambahnya, kerja-kerja penyukatan tanah dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan tiada cukai dikenakan.

“Malah sesetengah lot turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti jalan raya, longkang, bekalan air serta elektrik,” katanya. 

Awang Tengah berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanak Seksyen 18 KTN (Pertanian) Kampung Tian, Matu serta cek pampasan tanah dan exgratia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng di Dewan Serba Guna kampung berkenaan dekat sini, hari ini.

Beliau turut mengatakan kerja-kerja penyukatan tanah sama ada bagi SPK, Seksyen 18 KTN, Kampung Tradisi dan sebagainya akan diteruskan kerajaan negeri dari semasa ke semasa selagi ada permintaan dan permohonan.

Sementara itu, seramai 191 penduduk Kampung Tian menerima surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) peringkat kedua di bawah inisiatif baharu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Ia melibatkan 217 surat hak milik yang disampaikan Awang Tengah. 

Majlis turut menyaksikan enam penerima mendapat pampasan bernilai RM67,660 daripada projek pembinaan Jambatan Igan.

Sementara itu, sebanyak 18 penerima turut menerima pampasan sebanyak RM2,589,316.99 bagi projek Kampung Seberang Bawang, Matu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Integriti dan Ombudsman Datuk Dr Juanda Jaya.