Sarawak ID | Register
Polls
Announcements

Berita

Abang Johari PRN-12: Safiee bakal pertahankan DUN Daro
Tarikh : 08 Nov 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

2021-11-05

Abang Johari (lima kanan) menerima cenderahati daripada Safiee (tiga kiri) sambil disaksikan oleh yang lain.

MUKAH: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro Safiee Ahmad bakal mempertahankan kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 akan datang.

Perkara itu didedahkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg yang memberi bayangan bahawa Safiee calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi DUN berkenaan pada PRN-12 kelak.

"Takkanlah kita nak lepaskan wakil rakyat yang muda (Safiee), kuat kerja, (dan) sudah banyak pembangunan dilaksanakan di Daro," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Daro di sini hari ini. 

Terdahulu, Abang Johari memberitahu, hari ini merupakan hari istimewa yang mana DUN telah bubar susulan pembatalan Proklamasi Darurat Sarawak.

"Apa yang penting, negeri ini memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh serta kuat dalam mentadbir Sarawak.

"Asas kekuatan itu adalah perpaduan rakyat seluruh negeri yang menjaganya selama ini. Tiba masa ketika mandat diberikan telah tamat (tempoh), ia terpulang kepada rakyat untuk menentukannya semula," katanya.

DUN Daro diwujudkan pada 2005 dan ia kali pertama dipertandingkan pada 2006 ketika PRN Ke-9.

Pada ketika itu, Dr. Murni Suhaili menjadi wakil rakyat di kawasan ini selama dua penggal iaitu 2006 hingga 2011 dan juga 2011 hingga 2016 mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Ketika PRN Ke-11 pada 2016, Safiee Ahmad telah menggantikan Dr. Murni mewakili parti sama sehingga kini.

Safiee pada 2016 menang dengan undi majoriti 4,432 menentang calon dari Parti Amanah iaitu Ibrahim Bayau.

Safiee mendapat 5,001 undi manakala Ibrahim hanya 569.