Sarawak ID | Register
Polls
Announcements

Berita

Abdullah: Rekod hasil kerja, faktor penilaian rakyat
Tarikh : 08 Nov 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

Pulau Bruit, DARO: “Kalau saya seorang wakil rakyat di pihak pembangkang, belum tentu saya dapat melaksanakan pelbagai pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop.”

Demikian menurut penyandang kerusi DUN Semop Datuk Abdullah Saidol sambil menambah, ini kerana kawasan tersebut memerlukan peruntukan besar dan sebahagian besar penempatan ini adalah kawasan desa dan pedalaman.

“Urusan kerja serta projek pembangunan dipermudahkan kerana saya seorang wakil rakyat di pihak Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mentadbir negeri. Peruntukan melalui Program Tranformasi Luar Bandar (RTP) banyak membantu untuk melaksanakan projek berskala kecil dan sederhana di kampung dan rumah panjang seperti membaiki jalan dan jeti,” ujarnya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), beliau berkata beliau menyerahkan kepada rakyat dan yakin masyarakat DUN Semop mampu menilai hasil khidmat dan kesungguhannya di kawasan.

Diminta mengulas tentang corak atau tatacara kempen semasa PRN-12, Abdullah berkata kemungkinan besar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menguatkuasakan garis panduan (SOP) serta kawalan yang ketat semasa kempen bagi memastikan kesihatan diutamakan.

Setiap jentera pilihan raya GPS di setiap DUN telah membuat persediaan awal sejak setahun yang lalu dan pelbagai program taklimat telah dilaksanakan utk memastikan setiap ahli jentera pilihan raya GPS faham dan berdisiplin dalam mematuhi SOP pilihan raya yang sebahagian besar tidak sama seperti suasana pilihan raya sebelum ini, jelasnya.

Sementara itu, beliau dalam lawatan kerja selama tiga hari ke 15 penempatan di DUN Semop, menyampaikan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM735,463.00 kepada 31 organisasi di kawasan tersebut.

Organisasi yang menerima peruntukan tersebut ialah tujuh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung, 14 JKKK rumah panjang, tujuh pertubuhan bukan kerajaan, dua PIBG dan satu surau.

Menurut Abdullah, aktiviti penyerahan MRP ini tiada kaitan dengan pembubaran DUN yang diumumkan baru-baru ini.

Semua peruntukan yang diserah adalah susulan permohonan rasmi yang diterima pusat khidmat pada bulan lepas.

“Lawatan kerja secara santai dan ringkas seperti ini sering saya lakukan sejak sekian lama untuk berjumpa dengan pemimpin-pemimpin kampung dan rumah panjang serta penduduk untuk mendengar sendiri aduan serta memberi penjelasan secara bersemuka tentang banyak perkara yang menjadi kemusykilan mereka,” jelasnya.

Menerusi lawatan kerja seperti ini, pemimpin-pemimpin kampung dan rumah panjang juga akan mengambil kesempatan untuk menyerah permohonan baru keperluan kampung mereka.

“Ada juga penduduk datang berjumpa secara peribadi untuk memohon bantuan tertentu bagi meringankan sedikit beban mereka untuk menghantar anak yang akan melanjut pelajaran atau kos bagi menghantar ahli keluarga ke hospital dan sebagainya.

“Kebanyakan mereka yang memohon bantuan peribadi ini adalah dalam kategori keluarga yang benar-benar berkeperluan dan bantuan diberi adalah atas dasar kemanusian yang saya rasa tidak perlu diuar-uarkan,” ujarnya.